Sunday, September 8, 2013
Revolver .38 (A Prolog)
Julai 2001
HUJAN lebat yang turun sejak senja tadi telah membasahi seluruh bumi Bentong yang terletak di negeri Pahang ini. Sesekali panahan kilat sabung menyabung seolah-olah memberi amaran bahaya berada di luar kediaman. Sesekali juga sinar petir memancar menyuluh malam yang gelita untuk seketika. Suasana sejuk dan dingin mula menyelubungi beserta kabus yang nipis. Jauh dari pekan Bentong ini kelihatan sebuah rumah banglo dua tingkat disinari cahaya lampu yang malap. Rumah banglo dua tingkat ini kelihatan usang seperti sudah lama tidak berpenghuni dan ditinggalkan. Cat di dinding sudah mula lusuh dan luntur, genting atap rumah telah beberapa keping jatuh berselerak di kaki lima, pagar besi juga hampir keseluruhan dibaluti karat membuktikan rumah ini sudah terbiar begitu lama. Semak samun disekeliling banglo yang meninggi mencecah dua kaki bisa menjadi habitat reptilia pemangsa yang berbahaya.
Dalam cahaya yang agak malap di dalam banglo itu, bayangan sesusuk tubuh manusia jelas kelihatan melalui tingkap yang agak berlumut. Tubuh badan yang besar ini tidak lain tidak bukan adalah Profesor Dzulkefli. Dia mundar mandir seperti sedang memikirkan sesuatu. Dilema yang bermain-main difikiran membuatkan Profesor Dzulkefli berkelakuan sebegitu. Bertubi-tubi persoalan yang timbul dibenak ketika ini. Profesor Dzulkefli galau.
“Aku perlu melalukan sesuatu. Hal ini tidak boleh dibiarkan begitu saja. Tidakku sangka perkara ini akan jadi sebegini,” Profesor Dzulkefli mengomong sendiri.
Profesor Dzulkefli memerhatikan sepucuk pistol jenis Revolver .38 yang digenggam erat di tangan kanan. Tangan kiri memicit-micit kepala yang tidak sakit seolah-olah mempercepatkan akal fikiran waras memproses penyelesaian yang munasabah. Profesor Dzulkefli merebahkan badan di atas sofa berwarna merah yang agak berhabuk terletak di penjuru rumah banglo dua tingkat ini. Mukanya resah, hatinya gundah, kepalanya kadang kala berdenyut seketika mencari idea yang bernas. Mata yang dibantu kaca mata memerhatikan anak tangga untuk ke tingkat atas banglo ini. Perasaan sedih, menyesal, dan rindu bergilir-gilir menerjah ke lubuk hati. Bayangan penyesalan yang teramat sangat mula terukir di wajah. Matanya mula berkaca. Perlahan-lahan air hangat mengalir keluar dari hujung mata bundar menuruni pipi yang sedikit ke dalam. Dibiarkan saja air itu mengalir hingga ke dagu yang ditumbuhi bulu-bulu halus berwarna hitam. Setitik demi setitik air mata jatuh mencecah lantai banglo yang kotor dan berdebu. Semakin lama semakin deras air yang mengalir dari hujung matanya. Sebak Profesor Dzulkefli tidak tertahan lagi. Bunyi esakan mula kedengaran. Terhinjut-hinjut bahu menahan esakan yang teramat sangat.
Tiba-tiba deringan handphone Samsung mengejutkan dia dari tangisan kesedihan. Jantungnya berdegup kencang, darahnya berderau, dan mukanya berubah pucat apabila melihat nama yang tertera pada skrin handphone. Dibiarkan saja handphone itu berbunyi tanpa dijawab panggilan tersebut.
“Adakah mereka sudah tahu?” Profesor Dzulkefli cemas. “Apa aku buat di sini lagi? Aku perlu cepat bertindak sebelum semuanya terlambat. Kenapa perlu aku bersedih sedangkan ini memang pilihan aku dari dulu lagi?”
Perlahan-lahan Profesor Dzulkefli mengangkat Revolver .38 yang berada di tangan kanannya sejak tadi melepasi paras dada. Diperhatikan pistol itu lama-lama seperti memikirkan sesuatu. Dia bingkas bangun dan berlari menaiki anak tangga untuk ke tingkat atas. Dicapai sebuah kotak besi berbentuk empat segi tepat yang berada di bawah katil. Penutup dibuka lalu Revolver .38 dimasukkan ke dalam kotak tersebut. Sebelum memasukkannya, dia membelek-belek Revolver .38 itu mungkin untuk kali terakhir. Revolver .38 tersebut mirip Revolver Mateba buatan Itali yang jarang ditemui. Sifatnya yang semi automatik menjadikan ia unik dan klasik untuk dimiliki. Profesor Dzulkefli membuka Revolver tersebut, memusingkan silinder mengikut arah jam. Terdapat enam lubang pada silinder Revolver untuk isian katrij atau peluru. Profesor Dzulkefli memerhatikan setiap lubang yang berisi katrij. Lima lubang berisi katrij, cuma satu lubang pada silinder itu tidak berisi. Lama matanya tertumpu pada lubang yang tidak berisi katrij itu.
Sejenak kemudian Profesor Dzulkefli berlari menuruni anak tangga banglo dua tingkat tersebut. Bunyi tapak kakinya tidak kedengaran kerana hujan lebat serta paluan guruh yang berdentum di luar kediaman. Suasana bingit tidak langsung dipedulikan oleh Profesor Dzulkefli. Wajahnya semakin resah. Degupan jantungnya semakin pantas. Nafasnya sudah tidak menentu. Profesor Dzulkefli mengambil sekeping kertas di atas meja di depan sofa. Dikibas-kibas dahulu kertas tersebut untuk menghilangkan debu-debu kecil yang melekat. Tangan kanan meraba poket baju disebelah kiri dada untuk mencapai pen. Dia mula menulis sesuatu di atas kertas itu.
“Maria Binti Idris,” getus Profesor Dzulkefli sambil terketar-ketar menulis. “Mungkin surat ini dapat memperbetulkan segalanya.”
Berderau darah Profesor Dzulkefli bukan kepalang apabila terdengar handphone menjerit sekali lagi meminta dijawab. Masih nama orang yang sama tertera di skrin. Ini sudah kali kedua orang tersebut menghubungi dan dia sengaja membiarkan deringan itu berlarutan sehingga ia berhenti sendiri. Dicapai kunci kereta Audi A6 miliknya lalu berjalan pantas menuju ke kereta yang diparkir di luar pagar bertentangan rumah. Hujan yang turun sejak tadi masih tiada tanda-tanda hendak berhenti. Enjin kereta dihidupkan, gear diletakkan pada tanda ‘D’ lalu pedal minyak ditekan dengan keras untuk terus memecut.
Subscribe to:
Posts (Atom)